Buat Habis Baik

Sunday, June 7, 2009

Id, Ego Superego adalah bahasa psikologi yang perlu difahami secara mendalam sebelum digunakan secara meluas. Begitu juga dengan perkataan psiko kerana maksudnya adalah berbeza dengan apa yang kebanyakan orang faham.


Perlu diperjelaskan supaya tiada salah faham. Tiada istilah keangkuhan dalam tugas mendidik. Tiada juga istilah mempergunakan dalam usaha merapatkan barisan. Teguran hendaklah diterima secara terbuka dan besar hati. Jika ada teguran membina kita mesti akur. Manusia hari ini suka menciptakan perkataan-perkataan kononnya untuk sedap didengar semata-mata untuk lari daripada kenyataan sebenarnya. Nafsu mereka tidak suka jika diberitahu secara terus terang. Melenting...
Jika diteliti penciptaan teori kelahiran semula sebagai hukum karma yang ditulis oleh beberapa tokoh cerdik pandai menunjukkan bagaimana manusia mereka teori kelahiran semula semata-mata kerana takut kepada Siksa Kubur dan Hari Kebangkitan. Bagaimana hebat kemarahan nafsu manusia kerana sungguhpun kehidupan mereka penuh dengan kebaikan dan kebajikan tetapi keengkaran mereka terhadap Allah swt menjadi penyebab ibadat dan kebajikan mereka tidak diterima lalu mereka dicampakkan dalam neraka. Kenyataan ini begitu menikam hati mereka lalu mereka bertanya adakah benar para dermawan dan mereka yang telah mengabadikan hidupnya untuk misi kemanusiaan dan kebajikan dengan pengorbanan-pengorbanan hebat juga pasti akan menerima azab Allah swt semata-mata kerana tidak beriman ? Mereka mengatakan Tuhan Orang Islam tidak adil. Supaya mereka boleh hidup selesa sementara menantikan maut maka dipujuklah hati dengan cerita penglipur lara untuk menyedapkan hati lalu tidur lena yang panjang dibuai mimpi. Hakikatnya adalah yang benar tetap benar dan yang batil tetap batil. Pembicaraan perkara ini secara ilmiah menyebabkan ramai cerdik pandai bukan Islam menerima kebenaran Islam. Bukannya kita perlu membiarkan mereka dibuai mimpi indah dengan kata-kata yang bersifat penglipur lara.
Soal menyatakan sifat kenapa perlu dianggap mencela manusia. Bukankah sifat adalah salah satu daripada tabiat manusia yang perlu dikenali lalu diperbaiki. Apabila kita mengatakan sesuatu sifat dianya merujuk kepada sifat tersebut bukan manusia keseluruhannya. Kita menegur salah satu sifat yang ada pada diri manusia untuk diperbaiki. Jahil dalam mengenal sifat yang kurang baik dalam diri merosakkan manusia kurang berkesan tetapi apabila digantikan bodoh dalam mengenal sifat yang kurang baik dalam diri lebih tepat dan 'trigger' kita untuk berfikir secara serius dan mengambil langkah-langkah untuk memperbaikinya.
Sesuatu perkara yang menarik perhatian kita ialah manusia suka berbalah. Soal perbincangan sekarang ini ialah sifat manusia dalam soal ketaatan. Janganlah pula kita mengalih soal pokok yang menjadi isu kerana tindakan ini akan mengalih usaha untuk memperbaiki soal ketaatan dalam menjalankan tugas kepada soal-soal lain yang bukan fokus kita. Dengan kepandaian kita berhujah dan berbalah saya khuatir sudah barang pasti apabila kita menunjuk satu pihak sebagai pihak yang salah, pihak yang kita tunjuk itu akan menunjuk balik kepada kita sebagai pihak yang salah. Apabila pesta tunjuk menunjuk ini berlarutan, tidak akan ada pihak yang memfokuskan tindakan untuk memperbaiki isu utama yang dibicarakan. Akhirnya kita akan rugi. Teguran untuk diperbaiki bukan untuk dihujahkan.
Sekali lagi perlu diingatkan, merungut, membebel, bengkeng, berbalah, mengungkit hanyalah istilah-istilah yang digunakan untuk menolak hakikat usaha untuk memberi peringatan. Terpulanglah kepada pihak yang menafsir sesuatu perkara bagi menerima apapun. Manusia itu termasuk diri sendiri perlu diperingati selalu dan diulang-ulang, sesekali perlu secara tegas. Jika dikatakan ego itu adalah sudut pandangan sendiri, jika dikatakan merungutpun itu juga adalah dari sudut mana pandangan masing-masing.
Tiada apa-apa kejayaanpun yang telah dicapai. Tiada apapun keistimewaan yang dimiliki. Tiada apapun kesenangan yang dirasai. Tiada apa yang luar biasapun. Semuanya cukup. ALhamdulillah. Tapi jika ada pihak yang melihat seperti itu mungkin mereka rabun dalam membuat penilaian.
Kalau nak dihujahkan tentu ramai yang lebih pandai berhujah. Jika dipanjangkan, banyak lagi boleh diperkatakan kerana kita ini memang spesis yang suka berseminar dan berpidato. Marilah kita turun padang dan buat kerja supaya kita lebih matang dalam memahami apa inti pati 'rungutan' yang cuba diutarakan. Membina adalah suatu kerja yang panjang tetapi memusnahkan hanya perlu sekelip mata sahaja.
Menyentuh soal kesempurnaan. Memanglah diakui manusia semuanya tidak sempurna tetapi bukanlah alasan untuk berterusan melakukan kesalahan dan setiap kali ditegur kita memberi alasan yang sama. Lalu menutup kelemahan kita yang sebenar dan tidak berusaha untuk mempertingkatkan diri.
Dimulai bicara sungguh sopan. Mohon maaf saya ingin bertanya, rasanya kalau salah cakap minta maaflah. Ungkapan begini hanya sekadar kata sapaan untuk memulai bicara. Barangkali kerana dah berbuih mulut bercakap begini dah lupa dah makna sebenar perkataan memohon maaf. Beribu kali mulut tidak putus-putus memohon maaf tapi hakikatnya terus jugak membuat masalah. Apakah ini kesopanan yang dimaksudkan sesama manusia atau mengambil kesempatan?
Bagi diri saya kalau saya gagal buat kerja atau tidak mampu saya akan berundur dan bagi laluan kepada yang mampu. Usaha mesti diteruskan. Sesuatu telah dimulai dan akan ada orang yang menyambung...
Sementara itu, INGATLAH rapatkan barisan, ikhlaskan niat dan mohon ampun kepada Allah swt atas segala keterlanjuran kerana setiap saat saya dan kita berdosa kepada Allah swt sama ada secara sedar atau tidak makanya buatlah kebajikan sebaik-baiknya.
Buat Habis Baik.
Insya Allah.


4 comments:

Ahmadinejad June 8, 2009 at 12:11 AM  

Dalam pemikiran manusia dengan manusia yang lain tidak akan sama fikirannya.
Hanya manusia yang bijak pandai akan cuba bawa dirinya ke tempat yang lebih baik dengan harapan manusia lain akan menurut jejak langkahnya.

Dalam hal ini bukan pandai atau bodoh jadi persoalannya, tetapi sejauh mana ikhlasnya manusia itu ingin membimbing orang lain.

Jika kita lihat secara mendalam seorang ibu yang mendidik anak-anaknya dengan memenuhi segala permintaan anak-anaknya tanpa memikirkan sama ade perlu atau tidak maka anak-anak itu akan fikir bahawa ibunya itu terlalu baik terhadap nereka, jika suatu hari ibunya tidak dapat memenuhi salah satu permintaan anaknya itu apakah perasaan anak itu??

sama juga dalam konteks manusia mengenal tuhan atau manusia mengenal erti taat, pokok pangkalnya adakah manusia itu menunjukan contoh dan teladan yang baik dengan budi pekerti yang baik. Jika kita menyuruh manusia memohon keampunan kepada Allah SWT, tetai kita membuatkan hati dan perasaan manusia terluka ianya tidak akan membawa kepada perubahan.

Dalam konteks kepimpinan manusia diajar untuk taat kepada pemimpin selagi pemimpin itu tidak mengajar atau menyuruh kepada kejahatan, tetapi pemimpin sekarang lebih rela menyakitkan hati orang bawahan daripada hati mereka, dan mereka lebih suka melihat kesempurnaan dari pandangan mereka dari perspektif ummah@kumpulan.

Manusia sering menjadi sasaran syaitan kerana mudah untuk ditipu dengan bisikan-bisikan syaitan, manusia juga tidak lari dari hakikat bahawa mereka tidak sempurna, dan ini bukan alasan untuk tidak mengubah diri kepada yang lebih baik.
Tuhan tahu bahawa manusia akan melakukan kemusnahan didunia, namun tuhan masih menjadikan manusia sebagai khalifah didunia alah kerana sifat ingin mengajar manusia sifat "Kasih dan Sayang" kepada mereka.

Tuhan menciptakan pelbagai bangsa didunia ini dengan harapan agar mereka saling mengenal dan saling mendidik antara mereka. Harap difikirkan semua tindakakan kita serta pa yang kita cakapkan kepada orang lain. mentarbiah diri sendiri perlu dilakukan dahulu sebelum mentarbiah orang lain.. Salam Ukhwah...

Unknown June 8, 2009 at 1:25 PM  

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.
Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?
Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.
(Hadith Riwayat Ahmad)
===========
Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu).
(Al -Ahqaf [46] : 15)

Unknown June 8, 2009 at 2:07 PM  

Kenapa jiwa kita sempit?
Kenapa hati selalu keluh kesah?

Tentunya kita tidak ada banyak masa untuk persoalan-persoalan begini tetapi percayalah, dengan memberi sedikit masa untuk berfikir dan merenung persoalan-persoalan ini sebenarnya merupakan sebahagian dari anak kunci bagi meraih kebahagiaan sebenar.

Hakikat yang selalu tampak dalam kehidupan kita ialah kebahagiaan itu bukan milik semua orang. Ada yang hidup mewah tetapi hati penuh dengan kegelisahan, ada yang miskin tetapi hatinya penuh dengki dan dendam. Ada yang tak punya apa-apa tetapi hatinya lapang bercahaya, ada yang kaya raya tetapi hidupnya sederhana dan tenang. Jadi pokok pangkalnya kekayaan bukan penentu kekayaan jiwa, kemiskinan juga bukan kunci kepasrahan dan lapang dada.

Dalam beberapa bulan ini saya cuba untuk memaafkan semua kesalahan orang lain kepada saya. Tidak kira kesalahan itu berat atau ringan, lama atau baru. Setiap kali saya teringatkan tindakan manusia yang pernah menyakiti hati saya, sayapun istighfar dan cuba untuk memaafkan mereka. Saya cuba menggali keluar alasan atau sangkaan yang terbaik untuk mereka; mungkin mereka tidak tahu, tidak sengaja, mungkin mereka sedang bersedih atau tertekan pada masa itu, kalau saya tidak maafkan merekapun apa untungnya, sekurang-kurangnya Allah akan mengampunkan saya di Akhirat nanti, saya pun orang yang banyak melakukan kesalahan juga dan sebagainya. Ini saya lakukan disetiap masa terutamanya ketika sebelum tidur.

Bukannya mudah tetapi hasilnya lumayan. Setiapkali bertembung wajah dengan mereka, bibir saya akan menguntumkan senyuman yang bukan dibuat-buat. Setiapkali mereka bercakap ada mutiara yang boleh dikutip tidak seperti sebelumnya, setiap kali bertemu hati rasa gelisah, air muka berubah dan apabila mendengar mereka bercakap, langsung tidak ada kebaikan.

Saya berangan-angan jika usaha ini dapat diteruskan sepanjang hayat; tentunya hidup ini penuh kebahagiaan, ketenangan memenuhi hati, kasih sayang dan penghormatan melimpah ruah. Saya terbayangkan hati saya akan memiliki daya sembuh yang terlalu tinggi; seperti wolverine mungkin! Setiapkali terluka terus sembuh berbanding sebelumnya, apabila terluka sedikit…luka-luka itu terus merebak dan membusuk dalam diri hingga keringnya senyuman dibibir kerana kegersangan pada hati dan luka-luka yang mematikannya. Setiap hari baru yang saya tempuhi adalah hari-hari yang bercahaya, tiada lagi dengki dan dendam tiada lagi benci dan sakit hati. Saya juga terbayangkan wajah yang sentiasa muda tersenyum, menyejukkan pandangan orang lain, melimpahkan ketenangan pada jiwa mereka dan jiwa sentiasa lapang dan aman damai.

Ini mungkin angan-angan tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan. Hassan Al Basri pernah ditanya, “Adakah syaithan itu tidur?” Jawabnya ringkas tetapi bermakna, “Kalau syaithan itu tidur tentunya kita ada banyak masa untuk berehat.” Syaithan tidak akan pernah putus asa dan lemah semangat untuk sentiasa menanamkan kebencian dijiwa kita, menggembur-gemburkan permusuhan dan membajainya dengan dengki dan iri hati hingga akhirnya pohon dendam pun tumbuh subur dan membuahkan kemarahan dan sakit hati lalu setiapkali dihujung musim kitapun akan mengutip buah-buah kegelisahan yang diliputi bunga-bunga ukhuwah yang bertaburan gugur sebelum sempat ianya mekar dan berkembang untuk mewangikan dan mengindahkan kehidupan.

KETAATAN adalah bagaimana kita membuktikannya, bukan bagaimana kita mengucapkannya... Aminn

Cikgu Nan June 8, 2009 at 3:01 PM  

Banyak input yang diberikan. Sudah tentu gabung jalin ilmu daripada pelbagai sudut pandangan akan memperkayakan kita. Tapi tidak boleh berhenti sekadar membuat catatan semata-mata. Doakan supaya tulisan ini dapat mentarbiah diri kita.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS