Mengenang Kembali

Sunday, June 14, 2009

Sejak YKSNS ditubuhkan pada tahun 2003, gerakerja dan aktivitinya lebih tertumpu kepada usaha menjaga kebajikan saudara baru dan golongan yang memerlukan di dalam masyarakat. Selain daripada itu, YKSNS banyak mendapat rujukan daripada hospital kerajaan terutama yang melibatkan kes-kes hamil tanpa nikah dan ibu tunggal. Sedaya upaya, walaupun bukan komitmen Asrama YKS untuk menangani kes tersebut kami menghulurkan bantuan serta-merta. Selain daripada hospital, Pusat Dakwah Islamiah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan juga sering merujuk kes-kes melibatkan saudara baru dan ibu tunggal. Di antara tahun 2003 hingga 2009 banyak usaha dan tenaga telah difokuskan bagi menangani permasalahan tersebut di atas. Walaupun tidaklah banyak kejayaan tetapi sedikit sebanyak dapatlah membantu mereka yang menghadapi masalah. Satu perkara yang harus menjadi perhatian kita ialah berkenaan fakta bahawa kebanyakan orang yang dirujuk mempunyai masalah-masalah yang agak peribadi. Kegagalan seseorang untuk mengurus diri sendiri pada usia agak dewasa merupakan sesuatu yang luar biasa. Umumnya, setiap daripada kita mempunyai potensi untuk mengurus dan menjaga diri apabila mencapai usia matang. Seandainya pada usia dewasa kita masih memerlukan rumah perlindungan atau memerlukan seseorang untuk menguruskan diri kita menunjukkan wujudnya sesuatu yang abnormal dalam perkembangan diri seseorang. Pengalaman menunjukkan bahawa klien yang sering dirujuk dan memerlukan perlindungan merupakan orang yang kurang sihat atau kurang waras ataupun mengalami minor mental disorder. Mereka juga didapati mempunyai rekod-rekod klinik sakit jiwa. Kebanyakannya perlu mengambil ubat-ubat tertentu untuk mengawal emosi dan mental. Saudara baru dan single parent remaja yang dirujuk kerana mengandung tidak termasuk dalam kategori ini. Sehubungan dengan itu, perujuk hendaklah menyelidiki latar belakang klien dengan serius sebelum merujuk kepada kami memandangkan kami tidak mempunyai tenaga mahir dan kewangan yang mencukupi untuk menguruskan golongan ini.
Selain daripada itu, YKSNS juga menjadi rujukan Orang Kurang Upaya dan Penghuni Rumah Anak-anak Yatim berumur lebih 18 atau 21 tahun kerana terpaksa meninggalkan rumah perlindungan JKM. Walaupun tidak semua tetapi ada di antaranya sebatang kara lalu memerlukan seseorang atau sesebuah keluarga menjadi keluarga angkatnya. Kita tidak boleh terlepas pandang berhubung perkara ini kerana kami juga ada menerima satu kes rujuk hospital menunjukkan mangsa-mangsa salah laku seksual atau sumbang mahram yang dirujuk atau diserah semula kepada keluarga asal yang dipisahkan sebelum ini kerana perintah mahkamah dan mendapat perlindungan apabila kembali ke rumah asal mengalami ulang permasalahan sama. Mangsa tersebut telah lari dari rumah dan terperangkap dalam kegiatan pelacuran. Akhirnya pada waktu usia yang muda lebih kurang 20 an disahkan menghidapi HIV. Sesuatu yang malang apabila walaupun diberi perlindungan tetapi akhirnya mengalami nasib kurang baik juga.
Masyarakat dan terutamanya pemimpin kerajaan perlu lebih prihatin dan tidak terlepas pandang berhubung dengan perkara ini dan langkah-langkah susulan hendaklah diambil bagi membolehkan perkara seumpama ini tidak berulang lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS