Penghuni Rumah Kasih Sayang

Monday, November 9, 2009

Pada kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk berkongsi maklumat mengenai penghuni yang berada di Kompleks YKS Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sejak ditubuhkan asalnya bermula di Taman Setia Kasih, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Penubuhan ini adalah lanjutan daripada memenuhi keperluan mendesak terutama untuk golongan wanita. Seterusnya, kita berpindah sementara ke Taman Wira sebelum berpindah ke Kompleks Masjid Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Berikut secara umum dinyatakan jenis-jenis kes yang pernah mendapat perlindungan sementara bersama-sama kami.

1. Golongan Sasaran Utama ialah Saudara Baru. Saudara Baru merupakan kumpulan yang diberi keutamaan kerana ianya merupakan tujuan asal penubuhan rumah perlindungan sementara ini. Mereka ini sering dirujuk oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Unit Ukhuwah Saudara Baru, Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan, Pejabat-pejabat Agama Daerah-Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sosial Hospital Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson. Kebiasaannya saudara baru wanita akan tinggal lebih lama berbanding dengan saudara baru lelaki.

Selain disediakan kemudahan penginapan dan tempat tinggal, usaha-usaha juga ditumpukan

a)untuk memulihkan keyakinan diri,
b)mengadakan kelas-kelas asas kefahaman Islam,
c)praktikal solat dan beberapa usaha penyelesaian masalah mengikut keperluan semasa. d)proses penukaran nama dan status agama dalam kad pengenalan juga dilakukan.

Biasanya mereka akan tinggal di rumah perlindungan dalam tempoh di antara 3 hingga 6 bulan. Bagi saudara baru yang sebatang kara, ada yang tinggal di rumah perlindungan ini sehingga akhir hayat.

Contoh Kes

Dalam pengalaman terdapat satu kes melibatkan saudara baru India (wanita) ditinggalkan oleh suaminya yang berketurunan Pakistan. Suaminya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah merujuk kes ini untuk satu tempoh supaya membolehkan suaminya kembali ke Pakistan tetapi sehingga laporan ini ditulis tiada sebarang maklumat yang diperolehi daripada beliau. Hinggakan usaha-usaha untuk menghubunginya juga menjadi sia-sia kerana no telefonnya sudah tidak berfungsi. YKSNS telah menyempurnakan pengurusan dirinya yang terakhir dan menyemadikannya di tanah perkuburan Kuala Pilah.


Pelatih lain yang menghuni bersama-sama kami ialah
a)anak-anak saudara baru yang tiada ibu bapa kerana meninggal dunia
b)anak-anak saudara baru yang terbiar kerana ibu bapa bercerai
c)anak-anak saudara baru yang ditinggalkan bersama-sama keluarga asal.


Terdapat juga kes di mana, ada suami baru tidak mahu menerima anak-anak isterinya bersama suami pertama tetapi turut memeluk agama Islam. Usaha-usaha untuk memberi perlindungan kepada mereka amat penting demi untuk memulihara akidah mereka.


2. Selain daripada saudara baru, kumpulan kes lain yang sering mendapat perlindungan di sini ialah ibu tunggal.


a) Ibu tunggal yang bercerai melibatkan saudara baru dan bukan saudara baru,
b) Ibu tunggal yang bercerai mati dan tiada pembelaan keluarga,
c) Ibu tunggal bawah umur yakni yang hamil tanpa nikah


Masing-masing mempunyai kisah dan rencam kehidupan yang pelbagai dan unik. Kisah-kisah tidak wajar diperincikan kerana melibatkan kerahsiaan, etika dan soal-soal maruah. Namun kehadiran mereka di sini dapat meringankan sedikit penderitaan yang dialami dan paling kurang masih punyai tempat untuk berteduh ketika memerlukan perlindungan. Wanita hamil tanpa nikah bukan sahaja melibatkan golongan bawah umur adakala turut melibatkan wanita dewasa mahupun ibu tunggal yang sudah bercerai. Terdapat jua kes-kes yang melibatkan hidup berkesedudukan lama tanpa nikah yang dirujuk. Kami menjalankan segala usaha termampu untuk mendokumentasikan pernikahan tersebut dan mengusahakan pembinaan hidup baru.


3. Seterusnya ialah beberapa kes terpencil melibatkan mereka yang menjadi buruan along kerana terlibat dalam pinjaman ceti haram. Hampir-hampir mereka menjadi gila kerana menghadapi tekanan kerana tidak lagi mampu untuk membayar hutang.


4. Kumpulan yang dirujuk kerana tersadai di taman-taman awam kerana dihalau atau disuruh keluar kerana tidak dapat membayar sewa rumah. Ada kalanya disebabkan pergaduhan keluarga. Kebiasaannya kes seperti ini tidak lama kerana kami bekerjasama dengan Baitul Mal untuk mengusahakan rumah PPRT atau rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan Negeri Sembilan untuk golongan yang tidak berkemampuan. Alhamdulillah setakat ini ramai keluarga dapat kita usahakan untuk memperolehi rumah tersebut.


5. Remaja lari daripada rumah. Kebanyakan remaja yang lari daripada rumah adalah disebabkan ketidakfungsian sistem mikro keluarga tersebut. Biasanya ibu bapa bercerai atau sering bergaduh, tiada kasih sayang dan perhatian dalam keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mencari alternatif melalui sistem meso dalam sistem sosial mereka. Sasaran mereka adalah rakan sebaya kerana pada peringkat usia tertentu dan disebabkan gaya keibubapaan, remaja mencari dan mendapatkan maklumat melalui interaksi mereka dengan rakan sebaya. Rakan sebaya amat berpengaruh dan selalu mengatasi pengaruh dan peranan ibu bapa kerana kegagalan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran ( home ) yang kondusif untuk memenuhi keperluan remaja. Remaja memperolehi apa yang patut diperolehi daripada ibu bapa mereka daripada rakan sebaya yang berkekesudahan dengan masalah sosial.


Ibu bapa perlu belajar dengan menghadiri kelas-kelas dan menjalani latihan mentoring dalam dunia yang kian mencabar ini. Sudah tentu personaliti ibu bapa amat mempengaruhi tingkah laku mereka sebagai ibu bapa namun sesuatu tingkah laku itu masih boleh dipelajari dan dimodifikasi mengikut keperluan.


Akhirnya kita harus menyedari bahawa YKSNS masih dalam peringkat penyusunan asas-asas keperluan untuk menjadi organisasi yang menyumbang dalam mengatasi masalah-masalah sosial. Kita masih belajar untuk memperkukuhkan sistem kita. Terdapat beberapa tahap yang perlu dilalui. Apabila sistem dalaman kita kukuh, kita akan memacu untuk melibatkan diri dalam circle kedua yang melibatkan program-program out reach untuk mengusahakan kesedaran kepada masyarakat dan menyediakan masyarakat yang responsif bagi membantu mengawal masalah yang dihadapi. Penglibatan masyarakat perlu diusahakan dengan memberi kesedaran bahawa tugas pendidikan ini bukan sahaja tugas kerajaan, NGO semata-mata tetapi tugas dan tanggunjawab setiap individu.

Dengan adanya ruang-ruang yang disediakan melalui Sistem Jaringan Keselamatan Sosial, dapatlah kami sebagai NGO untuk menyalurkan maklumat dan menggerakkan masyarakat yang rapuh bagi mendapatkan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Masih ramai juga yang tidak mempunyai maklumat berhubung perkara-perkara ini.

1 comments:

Anonymous,  March 15, 2010 at 5:46 PM  

contoh kes pertama agak mengelirukan- melibatkan saudara baru india (wanita) bersuamikan jajaka pakistan. mungkin kes tersebut boleh disemak dan ditulis semula agar ia lebih kemas dan jelas.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS