Gagasan Pembangunan Saudara Baru

Friday, November 6, 2009

1. Usaha untuk membangunkan saudara akan menjadi mudah apabila beberapa pihak yang terlibat dalam Pembangunan Modal Insan Saudara dapat memahami dan saling melengkapi dalam memainkan peranan masing-masing.


2. Pihak utama yang perlu memainkan peranan utama ialah saudara baru itu sendiri. Apapun program yang dirancang dan dijayakan dengan pelbagai maksud dan tujuan hanya akan memberi makna apabila keterlibatan saudara baru berada pada tahap yang tinggi. Perhubungan dua hala dan keterlibatan langsung dan aktif saudara baru akan membantu mereka untuk membentuk peribadi.


3. Kita mengetahui bahawa pembentukan personaliti berkaitan rapat dengan agen sosial yang berhubung secara langsung dengan saudara baru. Anjakan agama yang dilalui oleh saudara baru daripada kehidupan lama kepada agama baru merupakan bukti komitmen tinggi. Bagi mereka kesedaran bahawa perubahan agama merupakan suatu bentuk pernyataan kesungguhan untuk berubah mengadaptasikan budaya dan norma baru dalam kehidupan merupakan cabaran dan perlukan latihan. Soal ini tidak dapat dipisahkan dengan niat asal mereka melakukan perubahan. Setiap orang paling kurang mempunyai satu sebab untuk memilih agama Islam sebagai agama ikutan mereka. Sungguhpun untuk menganut agama Islam tiada paksaan tetapi apabila sudah menerima sumpah setia menyatakan keislaman bermulalah mereka untuk mematuhi hukum hakam dan peraturan keagamaan. Pendekatan Nabi saw yang mengusahakan penerapan dan pembentukan Iman selama 13 tahun mungkin boleh menjadi sandaran kepada saudara baru.

4. Mempertikaikan niat dan keikhlasan saudara baru memeluk agama Islam bukanlah jalan penyelesaian. Malahan siapalah kita untuk menilai dan memberi makna dan erti kepada keislaman seseorang insan. Hidayah adalah hak mutlak Allah swt, tugas kita ialah mengurus mereka dengan contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw. Mereka mempunyai pelbagai tujuan untuk memeluk agama Islam. Paling ramai ialah kerana perkahwinan. Tidak dinafikan perkahwinan merupakan suatu faktor penyebaran agama yang utama. Soal bertukar agama kerana cinta dan sayang kepada seseorang lalu mereka mengambil keputusan untuk bertukar agama adalah sebab sahaja. Mereka yang persekitaran mereka hendaklah melahirkan celik akal saudara baru untuk memahamkan mereka bahawa keislaman seseorang mempunyai syarat-syarat dan Islam itu terdiri daripada Rukun Islam dan Rukun Iman.

5. Faktor perkahwinan dan cinta sayang menyebabkan ramai pihak terburu-buru untuk bernikah, adakalanya disebabkan mereka yang asal Islam sendiri tidak berapa peka dengan keperluan untuk melakukan pendidikan agama terlebih dahulu. Salah seorang kawan saya bertanya pada saya, apakah sebab tuan memeluk agama Islam sedangkan tiada apa yang ditawarkan oleh orang-orang Islam ? Bagi memperjelaskan soalan tersebut beliau mengulas bahawa orang Islam di Malaysia majoritinya adalah orang Melayu dan kebanyakannya tiada apa keistimewaanpun untuk ditawarkan yang boleh menarik perhatian orang lain untuk memeluk agama Islam.

6. Saya tidak boleh menjawab soalan tersebut bagi pihak orang lain. Kalau yang menyorot kembali sebab musabab diri sendiri, faktor utama diri saya ialah keinginan tinggi dalam diri sendiri untuk hidup bertuhan, pengalaman dan pendedahan agama Islam melalui penglibatan diri bersama Pasukan Pengakap, dorongan ilmiah yang dipersembahkan oleh kawan karib saya dan faktor keterbukaan orang tua saya dan akhirnya ini merupakan petunjuk dan keredhaan Allah swt untuk menyediakan ruang dan memudahkan usaha ke arah kembali kepada agama Islam.


7. Betullah kata beberapa pendapat, kamu akan dapat apa yang kamu niatkan. Dalam agama niat amat penting. Niat melakukan sesuatu merupakan ukuran keikhlasan yang hanya diketahui oleh Allah swt. Niat terbentuk hasil paduan akal, hati dan roh dan mempunyai kuasa minda yang kuat untuk menggerakkan sesuatu.


8. Perkara yang saya ingin utamakan ialah

8.1. Saudara Baru harus menyediakan atau disediakan paras kesedaran dirinya untuk berubah dan menerima perubahan. Implikasi praktisnya mungkin dengan mengadakan solat taubat dan hajat supaya memperbetulkan niat. Mereka yang terlibat secara kolaborasi hendaklah memimpin perubahan saudara baru. Ada pihak berpendapat bahawa kita perlu mengusahakan celik akal untuk membuat seseorang berubah tetapi hasil yang cepat dan mudah boleh diperolehi 'the other way round' mengusahakan perubahan tingkah laku kemudian mengusahakan celik akal. Pendekatan ini lebih mudah kerana manusia apabila melakukan tindakan perubahan melibatkan tingkah laku lebih cepat belajar dan boleh berubah daripada usaha-usaha mengubah minda dengan memberi ilmu kemudian baru mengusahakan perubahan tingkah laku. Pendekatan ini boleh dipermudahakn dengan kata-kata buat sambil belajar.

8.2. Jika saya mengambil contoh belajar solat. Saudara baru yang mengucap sudah menjadi kewajipan untuk bersolat. Pendekatan mudah ialah buat praktikal solat dengan berjemaah kemudian melalui teori akan mempermudahkan faham. Daripada segi hukum fiqhnya solat saudara baru sah andaipun mereka tidak boleh menbaca surah dan bacaan dalam solat. Mungkin mudah dan cukup sekadar menyebaut Allah dan kalimah-kalimah lain yang mudah.


8.3. Individu yang berminat untuk melibatkan diri dalam dakwah terutama untuk membantu saudara baru sering keliru dan tidak selesa. Perbezaan budaya cara kehidupan dan norma kehidupan mereka menghalang mereka untuk mempunyai dimensi pandangan yang keliru dalam menghadapi saudara baru. Perkara ini menyebabkan wujud rasa bersalah dan takut tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjaga muallaf. Mereka juga takut andai kata intervensi mereka gagal dan saudara baru kembali murtad. Perkara ini menyebabkan mereka mengalami mimpi ngeri dan seterusnya mengambil pendekatan untuk mengelak untuk membantu saudara baru.

8.4. Seperkara lagi, usaha dan bantuan yang diberikan hendaklah berpatutan dan tidak menggalakkan kebergantungan tinggi. Jika pendekatan yang dipilih menyebabkan mereka menjadi malas dan mudah bergantung harap ini bukan pendekatan terbaik. Kita harus mengenal pasti masalah saudara baru daripada beberapa sudut. Sudut keselamatan dan keperluan kepada perlindungan, sudut sara hidup dan kebajikan dan sudut pemantapan kerohanian. Saudara Baru hendaklah digalakkan bekerja supaya mereka dapat berdikrari dan merealisasikan inti pati ajaran agama untuk menyediakan diri menunaikan hak Allah dan hak manusia. Kita juga kena faham bahawa saudara kecuali yang menghadapi kecacaan fizikal ataupun mental mampu dan berkebolehan dalam banyak bidang kemahiran. Potensi mereka hendaklah digilap dan diberi pengupayaan untuk memimpin hidup mereka.


9. Kepada saudara baru, kita bukanlah manusia yang lemah. Kita mempunyai potensi serupa seperti manusia lain di muka bumi. Cuma sejauhmana kita memilih untuk bertingkah laku menyebabkan kita membuat pilihan-pilihan dalam hidup kita. Kalau kita memilih untuk hidup bergantung sampai bila pun kita akan hidup bergantung kepada orang lain dan tidak dapat berdikrari. Seperti manusia lain kita juga mempunyai kehendak dan keinginan hidup yang dipanggil dunia kualiti kita. Dalam dunia kualiti kita, terdapat kemahuan, keinginan dan kehendak.


10. Dunia Kualiti kita hendaklah bersifat realistik, mudah dan boleh dicapai. Kita memerlukan suatu kehidupan dan keperluan hidup - makan minum, pakai patut, tempat tinggal keinginan hidup berpasangan, beranak pinak dan berketurunan. Selanjutnya kita memerlukan kasih sayang dan saling memiliki. Faktor kedua ini merupakan faktor utama dalam memacu kehidupan supaya kita dapat bertingkah laku dengan sempurna. Kasih sayang daripada keluarga, rakan taulan, pemimpin dan masyarakat. Berikutnya kita memerlukan kuasa dan pencapaian supaya kita dapat autoriti atas diri kita, kepuasan hidup dalam menentukan pilihan dalam dunia kualiti kita. Kebebasan dan kebahagian hidup adalah yang terakhir.


11. Saudara Baru hendaklah memahami perkara ini dan melalui proses-proses membuat pilihan yang tepat untuk berubah. Kita perlu ingat kebahagiaan dan penderitaan adalah pilihan kita, kalau kita memilih untuk derita dan dukacita, kita perlu bekerja juga dan melalui kesusahan, begitu juga kalau kita memilih untuk hidup gembira pun kita perlu bersusah payah dan bekerja. Manakala kedua-duanya memerlukan kerja bersungguh-sungguh, lebih baik kita memilih untuk gembira. Semuanya pada pilihan kita. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana pilihan yang kita lakukan.


12. Bertindaklah dengan cermat dan berhati-hati. Perkara utama ialah integriti. Ingat kita akan dipersoalkan Allah swt pada kemudian hari atas pilihan-pilihan yang kita buat. Kita boleh memilih menjadi orang beramanah daripada memilih untuk menjadi curang, kita boleh memilih untuk menjadi kawan daripada memilih untuk menjadi lawan, kita boleh memilih menjadi sahabat daripada memilih menjadi musuh.


PILIHAN DI TANGAN ANDA
IRINGKAN DENGAN DOA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS