Membina adalah satu kerja yang sukar

Wednesday, September 16, 2009

1. Membina adalah suatu kerja yang sukar, memusnahkan amat mudah dan boleh dilakukan sekelip mata. Membina perhubungan sesuatu yang sukar dan memakan masa tetapi mengeruhkan hubungan dan memutuskan silaturrahim tidak akan mengambil masa lama. Membina bangunan memakan banyak masa, tenaga dan wang ringgit. Namun meruntuhkan amat mudah sekali. Lihat sahaja peristiwa Sept 11. Perhubungan yang rosak adalah seperti cermin yang retak. Walaupun disambung masih berkesan seperti juga luka yang sembuh tetapi masih berparut. Oleh itu berhati-hatilah ketika ingin melakukan sesuatu tindakan. Jangan kerana nyamuk kelambu dibakar ! Jangan kerana nyamuk beberapa ekor, istana yang dibinakan dengan begitu banyak pengorbanan diletupkan dan punah ranah.
2. Sebelum ini saya pernah menulis dan saya ingin mengulangi semula supaya kita menjaga lidah kita yang tidak bertulang. Daripada memilih untuk berkata-kata dengan celupar dan sinis, pilihlah untuk berkata manis dan berkias untuk menjaga kesopanan dan budi bahasa yang tinggi. Bahasa adalah alat komunikasi yang tercetus melalui simbol-simbol tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu menurut rumpun budaya masing-masing untuk membina perhubungan intim sesama mereka. Bahasa menunjukkan bangsa. Bangsa Malaysia hendaklah dididik dan diperingatkan supaya mengamalkan budaya sopan santun. Kita amat bertuah dapat hidup aman damai di bumi tercinta Malaysia. Kita tidak sanggup untuk membiarkan bumi tercinta ini hilang keamanan, keharmonian dan kedamaian. Kita hendaklah berfikiran holistik dalam hal ini. Elakkan mengambil kesempatan di atas kejahilan manusia, kealpaan manusia, elakkan meracuni fikiran generasi muda dengan menyenaraikan perkara-perkara yang disaring menurut kaca mata dan kepentingan sesuatu tujuan. Sejarah akan berulang. Jangan kita terhukum oleh sejarah. Sejarah hendaklah dijadikan rujukan dalam membuat keputusan, pilihan dan tindakan. Utamakan kepentingan ramai daripada kepuasan peribadi. Jangan biarkan kita 'terhukum' oleh sejarah. Kesannya amat pilu dan menyedihkan.
3. Tidak ada budaya yang mengajar kita untuk menghina supaya orang rasa terhina. Jangan ciptakan budaya liar seperti ini kerana ianya menjadi contoh kepada generasi muda. Jika budaya hina menghina adalah tabiat kita, itu tandanya hati kita adalah hati yang kotor ! Tua dihormati dan muda disayangi. yang tua kerana pengalaman dan sumbangan positifnya dan yang muda kerana kurang dosanya dan masih putih hatinya. Hati amat pilu apabila ada pihak yang melampaui batas dalam membuat kecaman terhadap mereka yang disayangi ! Amalkan budaya mendengar apa yang diperkatakan dan bukan siapa yang memperkatakan. Daripada seorang anak kecil hinggalah orang yang akan meninggal adalah sama sahaja di sisi Tuhan kecuali dengan taqwanya. Orang yang beragama tauhid tidak memilih untuk menghina orang lain. Mereka banyak melihat kekurangan dan keburukan diri sendiri dan membandingkan dengan kebaikan dan teladan orang lain yang baik dan positif. Merasa diri tidak berdosa adalah salah satu dosa !
4. Wahai orang-orang yang beragama Tauhid, hentikan kacau bilau ! Bersatulah untuk mengajak manusia untuk memperhambakan diri kepada Allah swt segala masalah akan selesai. Bagai harimau menjejaki mangsa. Orang sedang melihat telatah kita dan menunggu saat-saat istimewa untuk membuat terkaman. Nanti menang sorak kampung tergadai.
5. Kita sayangkan diri ini kerana ia adalah diri kita, amanah Allah. Kita sayang bumi ini kerana bumi kita, amanah Allah. Kita sayang agama ini kerana ia agama kita - amanah Allah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS