Hak Dan Kebajikan Orang Kurang Upaya Mental

Wednesday, September 9, 2009

Orang Kurang Upaya Mental, lebih baik kiranya saya membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan dan hak daripada mengemukakan definisinya yang pelbagai. Saya amat sedih apabila diberitahu berhubung dengan kisah seorang yang pernah berkhidmat dengan kerajaan di salah sebuah agensi kerajaan diberhentikan kerja di atas alasan tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas tanpa sebab dan kebenaran.
Apabila saya menyemak kesemua dokumen yang ada, saya dapati ada kewajaran bagi penama ini untuk memohon pertimbangan semula daripada kerajaan supaya dibuat penyemakan semula terhadap keputusan untuk memberhentikan kakitangan ini. Saya telah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam dan bertindak bagi pihak penama menghantar surat kepada pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Hampir beberapa bulan berlaku, tiada sebarang jawapan positif.
Hari ini, datang lagi hamba Allah tersebut ke pejabat saya dan memaklumkan bahawa dia telah disuruh mengosongkan rumah yang dibeli di sebuah taman di Kuala Pilah. Penama ini terkejut apabila diberitahu bahawa rumah tersebut telah dilelong kerana tidak diberikan apa-apa notis ataupun surat makluman. Beliau gagal untuk menjelaskan bayaran pinjaman perumahan untuk tempoh 8 bulan akibat diberhentikan kerja dan tiada pendapatan untuk sara hidup.
Saya tidak tahu apa nak buat untuk membantu penama ini. Saya telah meminta penama untuk menghubuni baitul mal sebelum ini memandangkan pejabat Baitul Mal sudah dibuka di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau telah pun berjumpa dengan Pegawai Baitul Mal untuk urusan selanjutnya. Saya dimaklumkan bahawa Pegawai Baitul Mal telah memaklumkan bahawa permohonan penama boleh dipertimbangkan. Pegawai tersebut meminta penama membawa surat-surat sokongan dan penyata tunggakan untuk tindakan selanjutnya. Penama ini selalunya lambat bertindak.
Rumah sudah dilelong pada 9.9.9 dan hampir sahaja penama dikurung oleh pembeli baru yang terus sahaja datang untuk menguatkuasakan hak miliknya. Saya tidak pasti apakah terdapat sebarang peraturan penguatkuasaan sebegini pantas. Adakah hak milik sudah ditukar? Apakah tiada tempohd diberi supaya penama ada masa untuk mencari alternatif.
Saya berasa amat sedih kerana di atas kesibukan sewaktu ini tidak dapat menumpukan perhatian untuk membantu penama ini. Jumlah tunggakan tidaklah banyak dan saya yakin Baitul Mal boleh membantu. Tapi penama ini agak lambat bertindak dan banyak menangguhkan urusannya. Kita pun tidak boleh menyalahkan penama kerana penama tidak berada dalam keadaan yang ok untuk membuat urusan walaupun kelihatan ok!
Pihak-pihak berkuasa dan pembuat dasar hendaklah duduk sejenak memikirkan hak dan kebajikan golongan kurang upaya dari segi mental terutama yang mengalaminya dari separuh jalan. Mereka yang kehilangan pekerjaan akibat sakit mental ini adakalanya mempunyai tanggungan dan adalah menyedihkan jika kita tidak mewujudkan dasar-dasar tertentu dan dipertahankan oleh undang-undang demi kemaslahatan mereka. Mereka juga perlu makan minum dan perlu pakai patut dan rumah untuk tumpang berteduh..
Pemimpin-pemimpin yang dikasihi, lebarkan jalur kemanusiaan agar dapat menyelami perasaan dan suka duka rakyat biasa supaya kebajikan mereka diutamakan. Kita hendaklah menjadi prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh golongan minoriti ini. Mereka juga adalah rakyat Malaysia !

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Hakcipta terpelihara YKSNSweb 2009 by YKSNSwebmaster 2009

Back to KE ATAS